Monday, December 29, 2008

SPSGP sepanjang 2008

Apabila datangnya 1 Januari 2009 maka berakhirlah tahun 2008 yang meninggalkan segala kenangan dan harapan. Apa yang telah berlaku maka ianya hanya menjadi sejarah kepada kita. Pergerakan perguruan Silat Gayung Penggerak juga menempuh pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang 2008. Tetapi dengan semangat yang tak berbelahbagi dari ahli dan mereka yang menyokong perjuangan yang dibawakan oleh Pak Guru Hashim Ahmad maka Gayung Penggerak tetap bergerak dan berjaya menambah bilangan ahli,
insyaAllah satu lagi gelanggang Gayung Penggerak akan beroperasi pada Januari 2009. Alhamdullillah....

Seperti biasa SPSGP tidak pernah sepi dari aktiviti jemputan ataupun aktiviti perguruan. Pelbagai aktiviti SPSGP telah dijalankan sepanjang tahun 2008 yang terdiri dari jemputan persembahan,demo silat,perasmian dan aktiviti perguruan sama ada kenduri ,majlis makan malam dan malam ijazah ahli baru. Selain daripada itu aktiviti gotong-royong membersihkan gelanggang utama juga dijadikan aktiviti bulanan.



Pada tahun 2008 3 sesi pengambilan ahli baru telah dijalankan, 2 majlis ijazah ahli baru telah diadakan iaitu pada 22 Mac 2008 dan 21 Jun 2008. Majlis ijazah ahli baru seperti biasanya dimulakan dengan penerangan syarat dan adab silat kemudianya diikuti dengan perjanjian terima silat, bacaan doa oleh guru utama dan diakhiri dengan jamuan makan.



Pada 3 Mei 2008 SPSGP telah diberi penghormatan untuk mengadakan demonstrasi silat untuk acara pembukaan Hari Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Kongsi Balik Pulau. Pada hari tersebut 20 ahli SPSGP dari gelanggang utama telah bergabung dengan 24 ahli SPSGP dari gelanggang kongsi untuk membuat persembahan.



Pada 10 Ogos 2008 SPSGP telah membuat persembahan di Sekolah Menengah Telok Kumbar 2 bersempena Hari Kantin. Persembahan telah dijalankan dengan jayanya oleh 14 pesilat SPSGP. Persembahan dimulakan dengan sembah panglima diikuti gerakan asas, silat pulut , buah jatuh tari tempur senjata dan di akhiri dengan pecah genting.



Sebagai menghormati bulan ramadhan latihan silat dihentikan selama 1 bulan, jamuan hari raya ataupun rumah terbuka Gayung Penggerak diadakan setiap tahun di rumah guru utama.Pada hari tersebut juga merupakan perjumpaan tahunan diantara ahli baru dan lama.

Pada 30 November 2008 dengan kekuatan 25 orang ahli , pihak SPSGP telah menghadiri jemputan hari Haul Kuntau Tekpi Malaysia 2008 di Kg.Siput Baling. SPSGP telah membuat persembahan dan menjalinkan silaturahim diantara 2 perguruan ini. Selepas pulang pihak SPSGP telah menghadiri kelas gendang silat di Sik Kedah dan mendapat tunjuk ajar dari Guru Serunai Pak Long Mail dari silat Patani. Beberapa siri rombongan sambil belajar SPSGP akan diadakan lagi pada awal tahun ini.



Perhimpunan perjumpaan penutup untuk tahun ini telah diadakan pada 9 Disember 2008, satu jamuan makan telah diadakan juga bersempena Hari Raya Korban. Antara menu pada malam tersebut adalah 1000 cucuk sate yang disiapkan sendiri secara gotong-royong oleh ahli SPSGP.



Terdapat juga persembahan silat untuk majlis dan jemputan secara kecil-kecilan yang lain sepanjang tahun 2008. Akhir kata dari pihak perguruan semoga segala aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun 2008 dapat memberi manfaat kepada semua ahli SPSGP dan juga diharapkan tahun 2009 menjadi tahun yang cemerlang bagi SPSGP untuk terus bergerak dan berkembang.

MAAL HIJRAH 1430H

Selamat Menyambut Maal Hijrah yang ke 1430H.

Hijrah dari segi bahasa membawa maksud berubah ataupun berpindah,manakala dari konteks agama pula ianya berdasarkan perpindahan rasulullah S.A.W dari Mekah ke Madinah.Apapun yang berlaku ianya memberi kesan yang mendalam terhadap umat dan agama Islam, maka di harap kedatangan tahun baru Islam ini membawa perubahan kepada kita untuk berubah sikap kepada yang lebih mulia, mendekatkan diri dengan maha pencipta, berusaha keras terhadap apa yang diusahakan. Semoga apa yang dilakukan oleh kita mendapat keberkatan dariNya.Amin....

Salam
GerakGayungan.

Monday, December 15, 2008

Sekitar Hari Haul Kuntau Tekpi 2008

Bunga sembah dari Gayung Penggerak
Acara dan persembahan dari SPSGP pada hari tersebut dipimpin oleh cikgu Hafiz dan dibantu oleh Cikgu Fauzi,Cikgu Mi,Cikgu Anuar,Pak Su Zul serta Cikgu Faiz.

Bunga sembah dari Kuntau Tekpi


Aksi menanti serangan untuk melakukan buah jatuh


Guru Utama menyaksikan persembahan


Barisan Jurulatih dan Guru utama

Monday, December 1, 2008

Pertemuan dua Guru utama

Dua Guru Utama bertemu sebagai ikatan silaturahim di antara dua perguruan, di antara Seni Perguruan Silat Gayung Penggerak (SPSGP) dan Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekpi Malaysia (PSSKTM). Seni Perguruan Silat Gayung Penggerak telah menghadiri Hari Perhimpunan Tahunan Silat Kuntau Tekpi Malaysia 2008 bertempat di rumah Guru Utama PSSKTM Pak Guru Haji Sani yang terletak di Kg. Siput, Jalan Weng Baling, Kedah Darul Aman. Majlis penyampaian Bengkung dan selempang itu juga dijalankan serentak dengan Hari Perkahwinan anak Beliau. Majlis tersebut juga di hadiri dari perguruan-perguruan silat yang berdekatan. Walaupun terdapat perbezaan adat sembah perguruan, persamaan kedua-dua perguruan ini (Gayung Penggerak & Kuntau Tekpi) ialah menjadikan senjata tekpi sebagai senjata utama perguruan. (Gambar : Pak Guru Haji Sani & Pak Guru Hashim Ahmad)








Gelanggang Panglima Taib

Para pesilat SPSGP bergambar di gelanggang Panglima Taib (Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekpi Malaysia) Persembahan dari Gayung Penggerak untuk Hari Haul Kuntau Tekpi 2008 terdiri daripada Buah Jatuh, Jurus dan Tari.