Monday, June 29, 2009

Pertandingan Silat Sekolah-Sekolah Peringkat Negeri Pulau Pinang 2009



Pada 22-27 Jun 2009 yang lalu, sekali lagi komuniti silat Pulau Pinang berhimpun dan berkampung di Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Impian yang terletak di Simpang Ampat Bukit Tambun, Seberang Perai Selatan. Perhimpunan kali ini adalah bersempena kejohanan silat Sekolah-sekolah Seluruh Pulau Pinang, Kejohanan yang berlangsung hampir seminggu itu dibahagikan kepada 2 acara iaitu Silat Olahraga (Tanding) dan Silat Seni. Kejohanan juga dibahagikan kepada 2 kategori iaitu Sekolah Rendah & Sekolah Menengah.

Bagi silat olahraga pertandingan dibahagikan mengikut kelas berat. 6 kelas dipertandingkan iaitu Putera A, Putera B, Putera C, Puteri A, Puteri B & Puteri C. Bagi silat Seni antara acara yang dipertandingkan ialah Tari Silat, Tempur Silat. Seperti tahun-tahun sebelumnya kejohanan kali ini dianjurkan dengan kerjasama PESAKA Pulau Pinang & JPN Pulau Pinang.

Kejohanan dimulakan dengan bacaan doa dan diikuti oleh Tari adab buka gelanggang oleh Wasit/guru bertugas.

Buka gelanggang dari guru bertugas


Seni Perguruan Silat Gayung Penggerak (SPSGP)



Tahun ini merupakan kemunculan sulung SPSGP di dalam pertandingan silat-silat sekolah, Pasukan SPSGP disertai oleh ahli dari Sekolah Kebangsaan Kongsi Balik Pulau (SKKBP) untuk kategori sekolah Rendah dan ahli dari Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Kumbar2 (SMKTK2) untuk kategori Sekolah menengah. Walaupun kedua-dua sekolah tersebut lewat menerima jemputan untuk pertandingan (pihak perguruan hanya dimaklumkan 5 hari sebelum pertandingan) pihak perguruan cuba sedaya upaya mempersiapkan pesilat yang dapat memberi tentangan kepada peserta-peserta lain.

Aksi Silat Tempur Putera SPSGP dari SMKTK2

Bagi kategori Silat Seni SPSGP hanya menyertai tempur Silat putera (Sek. Men.) Tempur silat Putera & puteri (sek. Ren), disebabkan kesuntukan masa penyertaan kali ini lebih kepada pendedahan dan pengalaman kepada ahli. Sesetengah sekolah telah menjalani latihan lebih daripada 2 bulan.


Pesilat SPSGP bersedia untuk perlawanan pertama

Bagi kategori silat olahraga untuk tahun ini SPSGP menyertai 4 daripada 6 kategori yang dipertandingkan. Kelas kategori yang disertai adalah Putera A&B dan Puteri B&C. Apapun ianya merupakan permulaan yang baik untuk SPSGP bagi silat olahraga apabila Kelas Putera B layak ke saringan kedua dan kedua-dua pesilat wanita berjaya ke suku akhir. Namun apa yang paling mengembirakan pihak SPSGP apabila berjaya melahirkan seorang Juara dalam kategori Putera A . Perjalanan ahli SPSGP menjadi Johan ini setelah:-
  • menewaskan SMK Westland (Saringan 1) kiraan mata 5-0,
  • menewaskan SMK Widuri (Suku akhir) kiraan mata 3-2,
  • menewaskan SMT Balik Pulau (Separuh Akhir) TKO pusingan 2
  • menewaskan SMK Pokok Sena (Akhir) kiraan mata 4-1.

Walaubagaimanapun kemenangan ini akan menjadi kenangan yang indah untuk Zulhilmi bin Jaafar (Johan Putera Kelas A Silat olahraga) apabila segala penat lelah kerana terpaksa bekerja keras menurunkan berat badan sebanyak 2kg ketika pagi pendaftaran akhirnya berbaloi.. Pesilat dari SPSGP ini akan mewakili Pulau Pinang untuk pertandingan peringkat Kebangsaan pada bulan ogos 2009 di Kuala Lumpur.


Johan Kelas Putera A

Majlis Penyampaian hadiah & Perasmian penutup pertandingan disempurnakan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Pulau Pinang. Sebelum upacara penutup hadirin disajikan dengan persembahan tarian dari pelajar sekolah Mutiara Impian, Demo dari Silat Pusaka Gayong Malaysia dan acara tutup gelanggang oleh Wasit/guru bertugas


Pak Guru Hashim Ahmad bersama Zulhilmi Jaafar

Bagi pihak perguruan kami mengucapkan syabas kepada semua pesilat yang telah berusaha bersungguh-sungguh sepanjang kejohanan, kepada ahli-ahli dan penyokong SPSGP jutaan terima kasih kami ucapakan dan kepada pihak penganjur terima kasih dan pohon kemaafan sekiranya terlanjur kata...semoga jumpa lagi di tahun hadapan.