Tuesday, August 10, 2010

Hari Pencak Warisan

Alhamdulillah, apa yang dirancang hampir 2 bulan dapat berjalan dengan lancar. Walaupun terdapat sedikit cacat-cela penganjuran kami yakin ianya akan dapat diatasi untuk penganjuran akan datang. Maklumlah kekurangan pengalaman dalam penganjuran dan merupakan anjuran pertama pihak SPSGP. Jutaan Terima Kasih kepada Perguruan-perguruan yang hadir memeriahkan majlis seperti Silat Pusaka Gayong, Silat Cekak Malaysia & Laksmana Laut. Sedikit rasa sedih kerana 3 perguruan menarik diri di saat-saat akhir. Sekiranya dimaklumkan awal mungkin pihak kami boleh menjemput perguruan-perguruan lain sebagai ganti. Apapun mungkin mereka ada hal yang lebih penting untuk diselesaikan pada hari tersebut.
Ucapan terima kasih juga kepada pihak-pihak yang sudi menghulurkan bantuan dan tajaan untuk melancarkan perjalanan majlis. Terima kasih diucapkan kepada Pihak Rukun tetangga Teluk Kumbar(RKT) , Pertubuhan Belia 4B Teluk Kumbar, En. Zulfikar (Pegawai Kementerian Belia & Sukan) Daerah Barat Daya. Pertubuhan Peribumi PERKASA Barat Daya, Ahli-ahli Gayung Penggerak, Orang-perseorangan dan kepada mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung dalam menjayakan majlis ini.

Guru Utama diiring masuk

Majlis pada hari tersebut dimulakan dengan perarakan masuk Guru Utama Pak Guru Hashim bin Ahmad masuk ke gelanggang persembahan untuk berjumpa dengan semua anak-anak Gayung Penggerak. Acara perarakan yang dilakukan penuh dengan adat istiadat melayu, Guru Utama diarak dengan diiringi ahli-ahli peringkat mahir. Manakala Bunga manggar, Sireh junjung beserta tepak sirih di bawa oleh puteri-puteri Gayung Penggerak. Turut dibawa bersama didalam perarakan tersebut keris adat perguruan iaitu Keris "Gerak Gayungan Sakti". Selepas selesai, Pak Guru Hashim menanti Ketibaan para VIP majlis.

Ketibaan para Jemputan

Tepat Jam 2.30 Petang para Jemputan kehormat tiba iaitu Tuan Haji Suhaimi Bin Md Isa, Pengerusi KRT, Saudara Shahidan Pengerusi Peribumi PERKASA Barat Daya, Penghulu Idris, Pengerusi Belia Daerah, dan jemputan-jemputan pengiring. Sebelum memasuki kawasan Persembahan Pengerusi Peribumi PERKASA di kalungkan selempang Kehornat Gayung Penggerak oleh Guru Utama, manakala Guru Ramli mengalungkan selempang kehormat perguruan kepada Pengerusi KRT Teluk Kumbar. Para jemputan diirngi ke tempat VIP diiringi paluan gendang silat.
Majlis dimulakan dengan kata-kata aluan dari Pengerusi Majlis diikuti dengan bacaan doa oleh Ustaz Marzuki , Ketua Guru Penasihat SPSGP gelanggang SMKTK2.

Bacaan Doa oleh Ustaz Marzuki

Pembuka bicara pada hari tersebut adalah ucapan dari Tuan Haji Suhaimi Pengerusi KRT Teluk Kumbar. Beliau memperkatakan mengenai peranan Silat Gayung Penggerak sebagai ikon Teluk Kumbar di dalam memperkenalkan Teluk Kumbar di mata dunia. belau juga mengucapkan tahniah di atas survival dan penerus warisan hampir 40 tahun yang dilakukan oleh Gayung Penggerak.

Ucapan dari Pengerusi KRT

Selepas ucapan tersebut di ikuti pula ucapan yang membangkitkan semangat pesilat oleh Pengerusi Peribumi PERKASA Saudara Shahidan. Didalam ucapannya ia menyentuh kepentingan menjaga warisan melayu dan peranan silat dalam membentuk jatidiri bangsa. Selesai ucapan beliau diberi tepukan gemuruh dari tamu yang hadir.Untuk perasmian majlis beliau mengetuk gong sebanyak 3 kali sebagai tanda bermulanya Hari Pencak Warisan 2010

Ucapan dari Presiden Peribumi PERKASA

Majlis dimulakan dengan acara buka gelanggang oleh Guru Ramli, Pemegang amanah 1 perguruan.
Tari Sembah Buka Gelanggang oleh Guru Ramli

Persembahan diikuti tari sembah oleh anak-anak Gayung Penggerak. Selain dari gerakan asas SPSGP juga menunjukan kemahiran didalam tempur senjata, Senjata-senjata teras yang membentuk logo SPSGP dimainkan oleh pesilat-pesilat SPSGP iaitu rotan panjang, keris, parang dan juga tekpi. sebelum persembahan tekpi oleh pesilat SPSGP, tari tekpi dipersembahkan oleh Cikgu Fazli, beliau juga memimpin SPSGP untuk persembahan hari tersebut. Persembahan dari SPSGP di persembahkan dari 3 gelanggang SPSGP. (Gelanggang Utama, Gelanggang SMKTK2 dan Gelanggang SKKongsi)

Gerak Asas Tari Gayung Pengerak

Aksi Rotan Panjang

Tari Tekpi dari Cikgu Fazli

Selesai persembahan dari SPSGP, persembahan diteruskan oleh Pusaka Gayong Pulau Pinang dibawah pimpinan Cikgu Helmi, pesilat dari Pusaka Gayong pada hari tersebut terdiri dari wakil beberapa gelanggang di Seberang Perai dan juga dari sebelah pulau. Persembahan dimulakan dari tari sembah, asas tapak, tempur keris, tempur parang dan diakhiri dengan lompatan.

Barisan Pendekar dari Pusaka Gayong Pulau Pinang

Persembahan mantap dari Pusaka Gayong Pulau Pinang

Persembahan seterusnya diambil alih oleh Seni Silat Cekak Malaysia. kumpulan demo ini juga merupakan gabungan dari dua kelas latihan iaitu kelas Taman Brown, Gelugor dan kelas Kg. Perlis, Balik Pulau. antara tetamu kehormat dari Cekak Malaysia pada hari tersebut ialah Abang John, orang lama PSSCM Pulau Pinang. Gerakan yang mantap dan kuncian yang kemas dari PSSCM memperlihatkan kecantikan seni silat melayu.

Pesilat dari PSSCM Pulau Pinang

Gerakan kemas dari Cekak Malaysia

Persembahan terakhir pada hari tersebut adalah dari jiran terdekat SPSGP iaitu Silat Laksamana Laut. Persembahan dari 20 anak muda ini dimulakan dengan tari sembah perguruan diikuti tempur beramai-ramai. demo yang menyamai tempur di dalam peperangan filem melayu zaman Studio Jalan Ampas menarik perhatian penonton.

Aksi dari Laksamana Laut

Selesai persembahan silat wakil perguruan di hadiahkan Sijil Penghargaan dan cenderahati, turut disampaikan sijil penyertaan kepada pesilat-pesilat yang terlibat.

Sepanjang perjalanan majlis, alunan irama gendang silat dari Kumpulan Gendang Silat Gayung Patani dari Sik, Kedah menyerikan majlis, persembahan diketuai oleh Pak Mail Gendang.

Tari Sembah tutup gelanggang disempurnakan oleh Cikgu Hafiz

Guru Utama menerima cenderahati dari Guru Ramli mewakili anak-anak Gayung Penggerak

Penyampaian Sijil kepada Guru/wakil perguruan

Sebahagian Ahli SPSGP selepas selesai majlis

Gurulatih Gayung Penggerak bergambar kenangan


Sunday, July 25, 2010

Hari Pencak Warisan




Teluk Kumbar menanti kedatangan anda untuk menyaksikan perhimpunan dan persembahan silat melayu dari Gayung Penggerak, Gayong Patani, Pusaka Gayong, Lincah Malaysia , Cekak Malaysia , Pulut Melayu Asli , Laksamana Laut. Persembahan tanpa henti bermula 3:ooptg hingga 6:00ptg. Peminat Silat & beladiri di utara tanah air secara amnya dan Seluruh Pulau Pinang secara khususnya dijemput hadir.

Sunday, July 11, 2010

AKAN DATANG

Hari Pencak Warisan
bersempena sambutan ke 40 tahun SPSGP


anjuran
Rukun Tetangga Teluk Kumbar


dengan kerjasama

Seni Perguruan Silat Gayung Penggerak
Pertubuhan Belia 4B Teluk Kumbar

Kementerian Belia dan Sukan Daerah Barat Daya

http://www.facebook.com/?ref=home#!/event.php?eid=144206038926869
Perhimpunan Pesilat & Persembahan Silat
oleh SPSGP dan Perguruan-Perguruan Jemputan

Kejohanan Sukan SMKTK2

Pada 3 Julai 2010, Sekolah Menengah Teluk Kumbar 2 telah menganjurkan Kejohanan Sukan Sekolah bertempat di padang SMKTK2. Seperti kebiasaan SPSGP akan diberikan tugas untuk mengadakan persembahan kepada hadirin yang hadir, tidak banyak perubahan yang dilakukan untuk persembahan kali ini, kerana tempoh latihan yang terhad. Selepas selesai ucapan perasmian dan perbarisan keluar padang, pesilat SPSGP mula mengambil posisi masing-masing.

Tari buka gelanggang kali ini diserahkan kepada Safarul selaku Pembantu Gurulatih dan juga Pengerusi SPSGP Gelanggang SMKTK2.Persembahan diikuti gerakan asas dan Jurus Serta tangkapan buah jatuh.

Permainan Tari Tempur dimulakan dengan tangan kosong , diikuti pula dengan Tempur Selengan, Kemudiannya diikuti dengan Rotan panjang.

Persembahan klimaks pada pagi tersebut adalah Tempur Keris dan diakhiri dengan Tempur Parang

Persembahan diakhiri dengan Tari Sembah Tutup Gelanggang menandakan selesainya persembahan pada pagi tersebut. Tari tutup gelanggang di sembahkan oleh Cikgu Fazli

Kumpulan Taekwondo turut membuat persembahan pada hari tersebut, sejurus selesai persembahan SPSGP.


Sebahagian Pesilat SPSGP yang terlibat bergambar kenangan





Friday, June 25, 2010

Silat Durian




Bila menyebut buah durian, kita akan membayangkan buah yang hebat dgn duri tajam tetapi isinya sedap dimakan walaupun sesetengah orang tidak tahan dengan baunya. Jadi apakah perkaitan buah durian dengan posting kali ini??? Di Pulau Pinang sekarang adalah musim buah durian. Silat Gayung Penggerak merupakan silat yang diasaskan dan berkembang di Pulau Pinang. Antara identiti yang terkenal sinonim dengan Pulau Pinang adalah Buah durian dari kelas terbaik ada di Pulau Pinang contohnya D12 ,D11,D24,Ang Hae(udang Merah), Ang Bak, Lipan Bara, Kunyit dan lain-lain lagi. Gelanggang Utama Gayung Penggerak terletak berhampiran dengan Rumah Guru Utama, dan juga berhampiran dengan Dusun Durian.Salah satu buah Gayung Penggerak juga dinamakan sempena Durian (kopek durian). Antara kata-kata Guru yang perlu difahami adalah " Buah durian yang luruh (gugur) sendiri adalah lebih baik dari buah yang dikait dan diperam. Buah yang gugur sendiri telah cukup tempoh matang dan masaknya dan siap untuk dimakan. Dan buah durian kampung yang asli itu lebih baik dari durian Siam." renung-renungkanlah maksud beliau yang tersirat yang boleh dikaitkan mengenai halatuju silat melayu.

Tuesday, May 25, 2010

Kelas Batal

Latihan minggu ini dibatalkan di kedua-dua gelanggang, SMKTK2 (Sabtu 29/5) & SKKongsi (Khamis 27/5) oleh sebab yang tidak dapat di elakkan. Latihan di gelanggang utama berjalan seperti biasa. Harap maklum....

Thursday, May 13, 2010

Gayung Penggerak & Kenduri Kahwin



Pada 2 Mei 2010, bertempat di Taman Perwira, Simpang Empat Tambun, telah berlangsungnya satu majlis perkahwinan diantara Ferdaus dan Mazniza Muhammad. Ferdaus yang merupakan sahabat lama kepada Cikgu Fazli telah menghubunginya meminta sedikit persembahan silat dari Perguruan Gayung Penggerak. Permintaan tersebut dipenuhi dengan rela hati disebabkan pada hari tesebut juga persembahan akan di iringi oleh Gendang silat. Kumpulan tersebut adalah Kumpulan Gendang Warisan Seni Budaya Kg. Pondok Labu Keladi kulim,Kedah. Kumpulan tersebut dipimpin oleh Cikgu Zul.





Pengantin di arak ke rumah dengan paluan gendang iring

Tari Sembah dari Cikgu Zul

Persembahan dari Cikgu Fazli dan Safarul

Adat lama Kenduri Kahwin


Majlis Perkahwinan sekarang telah banyak berubah mengikut perubahan masa. Adapun begitu banyak lagi warisan budaya yang cuba dikekalkan, tetapi banyak juga yang telah di lupakan sama ada disebabkan tiada yang mengamalkannya lagi dan ada juga yang ditinggalkan kerana bertentangan syara'. Mengikut penceritaan yang disampaikan oleh Pak Guru Hashim, pada zaman dahulu sehingga penghujung 1950an, Sejenis adat yang dinamakan 'Pelaga tepak sireh' di amalkan di Pulau Pinang. Adat tersebut telah pun berkubur sekarang dan tiada lagi yang menjadikan acara wajib ketika menyambut kedatangan rombongan pengantin malah mungkin juga generasi baru tidak mengetahui langsung wujudnya adat ini. Sekiranya disetengah tempat diselatan tanah air adat ini dipanggil Tol Pengantin, iaitu pihak pengantin yang datang, akan berbalas pantun dengan pihak yang menyambut, sebelum dibenarkan masuk ke rumah pengantin dan perlu dibayar kepada mak andam pihak yang menanti. 'Pelaga tepak sireh' membawa konsep yang sama iaitu pihak pengantin lelaki yang datang akan membawa pesilat, dan pesilat tersebut akan bertemu pesilat dari pihak pengantin perempuan untuk bertukar tepak sireh, dalam pertemuan tersebut akan berlaku tari seumpama permainan pulut, sambil pesilat mengacah dan cuba untuk menyentuh tepak sireh dari pihak lawannya. Sekiranya ada sentuhan maka mereka akan bertukar tepak sireh dan barulah pihak rombongan dibenarkan masuk. kedatangan 1960an dan 1970an dengan irama pop yeh yeh, joget lambak dan kini dengan Dj Radio dan sebagainya maka pelaga tepak sireh hanyalah satu tinggalan sejarah untuk adat perkahwinan melayu di Pulau Pinang.

Thursday, May 6, 2010

1 May 2010 (Hari Buruh)


Di kesempatan cuti umum bersempena Hari Pekerja pada 1 May yang lalu, satu majlis ijazah ahli baru telah diadakan. Alhamdullilah tanpa promosi, menaikan banner dan sebagainya tradisi mendapatkan ahli baru untuk ilmu persilatan masih berterusan. Walaupun bilangan yang terlibat kecil tetapi kesinambungan meneruskan warisan perguruan berterusan.

Sunday, April 18, 2010

Demo Sekolah Kebangsaan Teluk Kumbar

Ahli SPSGP berbaris sebelum persembahan


Persembahan Silat yang diadakan di Sekolah Kebanggsaan Bukit Gambir(SKBG) telahpun 2 minggu berlalu. Persembahan pada hari tersebut bukan sahaja dihadiri oleh Ibubapa dan guru sekolah terbabit malah turut dihadiri oleh guru dari sekolah lain. Selesai persembahan pada hari tersebut Cikgu Anuar telah dihubungi oleh Seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Teluk Kumbar (SKTK) bertanyakan mengenai Gayung Penggerak (SPSGP), tertarik dengan aksi-aksi yang dipaparkan di SKBG, beliau telah meminta jasa baik SPSGP untuk membuat persembahan pada Hari Sukan SKTK. Walaupun kesuntukan masa untuk berlatih disebabkan lewat menerima undangan dari pihak SKTK pihak SPSGP menerima secara terbuka dan berusaha utuk memberikan persembahan yang terbaik pada hari tersebut. Maka pada pagi Sabtu 17 April 2010 SPSGP membuat persembahan ketika acara sukan berehat.

Persembahan kaedah 4 buah jatuhan asas
Format persembahan pada hari tersebut tiada sebarang perubahan dengan persembahan di SKBG, cuma ditambah dengan sedikit permainan tari pulut dan bilangan ahli. Persembahan juga di kawalselia dengan bantuan 2 lagi jurulatih iaitu Cikgu Anuar dan Cikgu Fauzi.

Aksi Tempur tangan Kosong



Tari Silat Pulut

Antara gerakan rahsia, seni dan kelembutan silat itu terhimpun di dalam Tari silat pulut sesuatu perguruan, walaupun gerakan tidak sepantas aksi Pentas Tari, ataupun tempur tangan kosong gerakan yang dihasilkan mempunyai isi dan maksud yang sendiri. Ianya terpulang kepada penonton untuk mentafsirkannya.


Antara aksi Cikgu Fazli dan Safarul

Aksi Tempur parang
Antara persembahan yang menarik perhatian penonton tentulah aksi tempur parang , walaupun telah mendapat kesepakatan antara pasangan tempur dan latihan yang panjang namun kadangkala terdapat juga bahaya yang menanti sekiranya tersilap langkah. Alhamdulilah segalanya berjalan lancar, dengan set parang yang baru.$$

Ahli SPSGP dan Guru Utama selepas tamat persembahan






Saturday, April 3, 2010

Demo Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir

Buka gelanggang oleh Cikgu Fazli


Tari Sembah dari SPSGP

Alhamdulillah, apa yang dirancang telah berjalan dengan lancar. Layanan guru SKBG terhadap pesilat SPSGP juga amat memuaskan hati kami semua. Jutaan terima kasih kepada Puan Pengetua (Puan Jamaliah) dan Penolong Kanan KoKurikulum(Mr Lim)terhadap kerjasama yang diberikan. Persembahan demo yang berjaya menarik perhatian hadirin walaupun terdapat serba sedikit kekurangan.


Langkah Siku depan

Persembahan dimulakan dengan buka gelanggang oleh Cikgu Fazli diikuti tari sembah oleh para pesilat SPSGP. Persembahan diteruskan dengan langkah asas, jurus17 dan buah jatuh.


Tari Tempur Parang

Setelah selesai kaedah buah jatuh, persembahan diteruskan dengan Tari tempur Tangan kosong dan Tari tempur parang. Persembahan parang membuatkan pelajar tak senang duduk ditambah pula keadaan yang tidak dijangkakan berlaku (mata Parang Patah). Persembahan tari tetap diteruskan sehingga selesai oleh gandingan Mat Arif dan Tok Mat.
Mata Parang yang patah semasa demo SKBG , terpaksa cari set parang baru untuk demo akan datang.

Bergambar di rumah Guru Utama selepas selesai persembahan.

Thursday, April 1, 2010

Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir, kami datang.


Bersempena Hari sukan Sekolah, di Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir, Seni Perguruan Silat Gayung Penggerak dijemput untuk mengadakan demonstrasi Silat.Persembahan dijangka berlangsung selepas perbarisan dan bacaan ikrar oleh pelajar. Persembahan akan diadakan pada pagi Sabtu 3 April 2010 bersamaan 18 Rabiulakhir 1431 Hijrah. Jam 9.00 pagi. Orang ramai dijemput hadir.

Sunday, March 7, 2010

Ijazah SMKTK2 Mac 2010


Setelah hampir setahun Majlis diadakan di SMKTK2, tanggal 6 Mac 2010 bertempat di surau SMKTK2 satu majlis yang sama iaitu Majlis Pengijazahan ahli baru telah diadakan. Antara yang hadir pada majlis tersebut adalah Cikgu Fazli, Cikgu Anuar, Cikgu Fauzi dan Pak Guru Hashim Ahmad. Majlis yang dijalankan secara ringkas dan sederhana itu turut dihadiri bersama beberapa ahli lama. Selain sesi pengijazahan, Majlis juga merupakan majlis petua dan penerangan kepada ahli.

sebahagian Ahli tekun mendengar penerangan yang diberi
Penerangan disampaikan oleh Cikgu Fazli


Saturday, February 13, 2010

SPSGP SKK 2010 dan pandangan umum

Latihan telah pun bermula hampir 3 minggu di Sekolah Kebangsaan Kongsi,Balik Pulau.Ramai juga ahli baru yang berminat untuk mencuba setakat mana kemampuan di dalam diri. Seperti tahun-tahun yang lepas, di awal tahun atau awal pelajaran ramai yang mendaftar nama tapi dipertengahan perjalanan kelas, pasti akan ada ahli yang menarik diri dan berhenti maka tinggalah yang bersemangat kental sahaja yang berjaya sampai ke sesuatu tahap ujian, Dari kajian dan pemerhatian yang dilakukan permasalahan ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor.
Antaranya:-
  1. Tidak berminat dengan dunia silat tetapi sekadar mengikut kawan menyertai perguruan.
  2. Semangat yang berkobar-kobar di awal kemasukan latihan, dan semangat yang panas itu menjadi sejuk setelah badan sakit-sakit selepas latihan.
  3. Terlalu aktif dengan berbagai aktiviti disekolah cthnya, wakil sekolah di dalam bidang sukan, pidato, kuiz, debat, pengawas sekolah dan akhirnya tidak dapat memberi tumpuan kepada silat lagi.
  4. Tiada galakan dari ibubapa dan masyarakat sekeliling mengenai kebaikan mempelajari silat, sibuk dengan kehidupan moden dan menganggap silat seperti (kuno) tidak relevan lagi dengan dunia moden sekarang.
  5. Antara alasan lain yang popular yang digunakan di sekolah iaitu terpaksa menumpu pelajaran pada peperiksaan tahun tersebut.
  6. Bagi ibubapa yang kurang mendapat pendedahan dan penerangan serta dilahirkan dikalangan keluarga moden, mentaliti ibubapa menjadi prejudis dan fobia terhadap dunia silat, dengan alasan ilmu batin akan jadi gila, susah nak mati, ajaran sesat dan berbagai lagi tanggapan buruk. Tidak dinafikan ada juga kelompok silat yang mengamalkannya. Kelompok inilah yang memburukan lagi keadaan. Sesetengah ibubapa lebih yakin dengan beladiri luar.
  7. Bagi yang sudah berumahtangga dan bekerja kegagalan menguruskan masa antara faktor penyumbang. Bila diajukan soalan " malam ni /minggu ni turun gelanggang? " jawapan yang pasti diterima "kerja". Apapun mencari nafkah untuk keluarga tetap perlu diutamakan, janganlah sampai kita ekstrem dengan dunia silat hingga lupa keluarga. Sekiranya boleh luangkanlah sedikit masa ke gelanggang/kelas silat.
  8. Ikatan perkahwinan juga antara faktor yang mengikat/mengunci mati gerak kaki pesilat ke gelanggang.

Semua permasalahan di atas adalah kajian umum yang dilakukan dan terjadi kepada kebanyakan pesilat dan perguruan silat di Malaysia. Apapun hal-hal ini dapat diatasi sekiranya seseorang pesilat itu:-

  1. Mempunyai jatidiri, semangat dan minat yang mendalam terhadap dunia silat
  2. Mendapat galakan dari ibubapa dan masyarakat setempat
  3. Membuat aturan dan jadual masa kehidupan supaya lebih teratur.
  4. Bagi seorang pelajar mereka haruslah bijak membahagikan masa untuk bersilat, belajar, dan beriadah.
  5. Bagi yang akan mendirikan rumahtangga ceritakan kepada isteri mengenai minat dan dapatkan sokongan dari mereka, tidak akan ada sebarang halangan jika ianya dapat difahami dari awal.
  6. Menyelidiki latar belakang sesebuah perguruan sebelum menyertai, adakah perguruan tersebut melakukan perkara yang terlarang, bertentang akidah, pemujaan atau amalan-amalan khurafat yang lain.Sekiranya ada tinggalkan atau elakan dari terjebak.

Apapun diharapkan tahun ini pihak perguruan dapat menjalankan aktiviti seperti biasa, selain itu pihak perguruan juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah berjaya dengan cemerlang di dalam keputusan UPSR,PMR peperiksaan tahun lepas. Mereka mereka ini dapatlah dijadikan contoh bahawa silat tidak menghalang untuk mencapai kejayaan

Monday, February 8, 2010

Latihan Tempur bebas / free Sparring


Adapun latihan berpasangan melatih pesilat memahami gerak pertempuran sebenar, latihan tempur bebas juga penting untuk memastikan pesilat merasai suasana sebenar pergelutan, masa tindakan serangan mahupun sikap belaan, serta arah sasaran yang tepat.


Meneruskan kesinambungan ini selain daripada latihan tari sembah, kuncian dan buah jatuh, Gayung Penggerak juga memberi peluang para pesilatnya merasai suasana tersebut. Setelah selesai sesi tersebut setiap ahli boleh menilai sendiri tahap diri mereka, segala kekurangan akan dipebetulkan oleh gurulatih bertugas.



SPSGP 2010 NEW VIDEO

Sunday, January 31, 2010

SMKTK2 2010


Latihan silat di SMKTK2 disambung kembali selepas sekolah bercuti panjang, aktiviti gelanggang di sekolah-sekolah sepanjang bulan Januari berjalan lancar walaupaun agak sibuk sedikit dengan penambahan ahli baru, perlantikan jawatankuasa baru, serta majlis penerangan kepada ahli baru. Dengan struktur organisasi yang lebih mantap diharap perjalanan pertubuhan akan lebih lancar tahun ini. SPSGP SMKTK2 tahun ini turut mendapat bantuan dari 4 guru penasihat, dan diketuai oleh Ustaz Marzuki.


Tuesday, January 19, 2010

clip video silat terbaru

Klip video pada pertandingan pencak silat peringkat negeri 2009 untuk kategori Silat seni tempur berpasangan.