Sunday, July 25, 2010

Hari Pencak Warisan




Teluk Kumbar menanti kedatangan anda untuk menyaksikan perhimpunan dan persembahan silat melayu dari Gayung Penggerak, Gayong Patani, Pusaka Gayong, Lincah Malaysia , Cekak Malaysia , Pulut Melayu Asli , Laksamana Laut. Persembahan tanpa henti bermula 3:ooptg hingga 6:00ptg. Peminat Silat & beladiri di utara tanah air secara amnya dan Seluruh Pulau Pinang secara khususnya dijemput hadir.

Sunday, July 11, 2010

AKAN DATANG

Hari Pencak Warisan
bersempena sambutan ke 40 tahun SPSGP


anjuran
Rukun Tetangga Teluk Kumbar


dengan kerjasama

Seni Perguruan Silat Gayung Penggerak
Pertubuhan Belia 4B Teluk Kumbar

Kementerian Belia dan Sukan Daerah Barat Daya

http://www.facebook.com/?ref=home#!/event.php?eid=144206038926869
Perhimpunan Pesilat & Persembahan Silat
oleh SPSGP dan Perguruan-Perguruan Jemputan

Kejohanan Sukan SMKTK2

Pada 3 Julai 2010, Sekolah Menengah Teluk Kumbar 2 telah menganjurkan Kejohanan Sukan Sekolah bertempat di padang SMKTK2. Seperti kebiasaan SPSGP akan diberikan tugas untuk mengadakan persembahan kepada hadirin yang hadir, tidak banyak perubahan yang dilakukan untuk persembahan kali ini, kerana tempoh latihan yang terhad. Selepas selesai ucapan perasmian dan perbarisan keluar padang, pesilat SPSGP mula mengambil posisi masing-masing.

Tari buka gelanggang kali ini diserahkan kepada Safarul selaku Pembantu Gurulatih dan juga Pengerusi SPSGP Gelanggang SMKTK2.Persembahan diikuti gerakan asas dan Jurus Serta tangkapan buah jatuh.

Permainan Tari Tempur dimulakan dengan tangan kosong , diikuti pula dengan Tempur Selengan, Kemudiannya diikuti dengan Rotan panjang.

Persembahan klimaks pada pagi tersebut adalah Tempur Keris dan diakhiri dengan Tempur Parang

Persembahan diakhiri dengan Tari Sembah Tutup Gelanggang menandakan selesainya persembahan pada pagi tersebut. Tari tutup gelanggang di sembahkan oleh Cikgu Fazli

Kumpulan Taekwondo turut membuat persembahan pada hari tersebut, sejurus selesai persembahan SPSGP.


Sebahagian Pesilat SPSGP yang terlibat bergambar kenangan





Friday, June 25, 2010

Silat Durian




Bila menyebut buah durian, kita akan membayangkan buah yang hebat dgn duri tajam tetapi isinya sedap dimakan walaupun sesetengah orang tidak tahan dengan baunya. Jadi apakah perkaitan buah durian dengan posting kali ini??? Di Pulau Pinang sekarang adalah musim buah durian. Silat Gayung Penggerak merupakan silat yang diasaskan dan berkembang di Pulau Pinang. Antara identiti yang terkenal sinonim dengan Pulau Pinang adalah Buah durian dari kelas terbaik ada di Pulau Pinang contohnya D12 ,D11,D24,Ang Hae(udang Merah), Ang Bak, Lipan Bara, Kunyit dan lain-lain lagi. Gelanggang Utama Gayung Penggerak terletak berhampiran dengan Rumah Guru Utama, dan juga berhampiran dengan Dusun Durian.Salah satu buah Gayung Penggerak juga dinamakan sempena Durian (kopek durian). Antara kata-kata Guru yang perlu difahami adalah " Buah durian yang luruh (gugur) sendiri adalah lebih baik dari buah yang dikait dan diperam. Buah yang gugur sendiri telah cukup tempoh matang dan masaknya dan siap untuk dimakan. Dan buah durian kampung yang asli itu lebih baik dari durian Siam." renung-renungkanlah maksud beliau yang tersirat yang boleh dikaitkan mengenai halatuju silat melayu.

Tuesday, May 25, 2010

Kelas Batal

Latihan minggu ini dibatalkan di kedua-dua gelanggang, SMKTK2 (Sabtu 29/5) & SKKongsi (Khamis 27/5) oleh sebab yang tidak dapat di elakkan. Latihan di gelanggang utama berjalan seperti biasa. Harap maklum....

Thursday, May 13, 2010

Gayung Penggerak & Kenduri Kahwin



Pada 2 Mei 2010, bertempat di Taman Perwira, Simpang Empat Tambun, telah berlangsungnya satu majlis perkahwinan diantara Ferdaus dan Mazniza Muhammad. Ferdaus yang merupakan sahabat lama kepada Cikgu Fazli telah menghubunginya meminta sedikit persembahan silat dari Perguruan Gayung Penggerak. Permintaan tersebut dipenuhi dengan rela hati disebabkan pada hari tesebut juga persembahan akan di iringi oleh Gendang silat. Kumpulan tersebut adalah Kumpulan Gendang Warisan Seni Budaya Kg. Pondok Labu Keladi kulim,Kedah. Kumpulan tersebut dipimpin oleh Cikgu Zul.





Pengantin di arak ke rumah dengan paluan gendang iring

Tari Sembah dari Cikgu Zul

Persembahan dari Cikgu Fazli dan Safarul

Adat lama Kenduri Kahwin


Majlis Perkahwinan sekarang telah banyak berubah mengikut perubahan masa. Adapun begitu banyak lagi warisan budaya yang cuba dikekalkan, tetapi banyak juga yang telah di lupakan sama ada disebabkan tiada yang mengamalkannya lagi dan ada juga yang ditinggalkan kerana bertentangan syara'. Mengikut penceritaan yang disampaikan oleh Pak Guru Hashim, pada zaman dahulu sehingga penghujung 1950an, Sejenis adat yang dinamakan 'Pelaga tepak sireh' di amalkan di Pulau Pinang. Adat tersebut telah pun berkubur sekarang dan tiada lagi yang menjadikan acara wajib ketika menyambut kedatangan rombongan pengantin malah mungkin juga generasi baru tidak mengetahui langsung wujudnya adat ini. Sekiranya disetengah tempat diselatan tanah air adat ini dipanggil Tol Pengantin, iaitu pihak pengantin yang datang, akan berbalas pantun dengan pihak yang menyambut, sebelum dibenarkan masuk ke rumah pengantin dan perlu dibayar kepada mak andam pihak yang menanti. 'Pelaga tepak sireh' membawa konsep yang sama iaitu pihak pengantin lelaki yang datang akan membawa pesilat, dan pesilat tersebut akan bertemu pesilat dari pihak pengantin perempuan untuk bertukar tepak sireh, dalam pertemuan tersebut akan berlaku tari seumpama permainan pulut, sambil pesilat mengacah dan cuba untuk menyentuh tepak sireh dari pihak lawannya. Sekiranya ada sentuhan maka mereka akan bertukar tepak sireh dan barulah pihak rombongan dibenarkan masuk. kedatangan 1960an dan 1970an dengan irama pop yeh yeh, joget lambak dan kini dengan Dj Radio dan sebagainya maka pelaga tepak sireh hanyalah satu tinggalan sejarah untuk adat perkahwinan melayu di Pulau Pinang.

Thursday, May 6, 2010

1 May 2010 (Hari Buruh)


Di kesempatan cuti umum bersempena Hari Pekerja pada 1 May yang lalu, satu majlis ijazah ahli baru telah diadakan. Alhamdullilah tanpa promosi, menaikan banner dan sebagainya tradisi mendapatkan ahli baru untuk ilmu persilatan masih berterusan. Walaupun bilangan yang terlibat kecil tetapi kesinambungan meneruskan warisan perguruan berterusan.

Sunday, April 18, 2010

Demo Sekolah Kebangsaan Teluk Kumbar

Ahli SPSGP berbaris sebelum persembahan


Persembahan Silat yang diadakan di Sekolah Kebanggsaan Bukit Gambir(SKBG) telahpun 2 minggu berlalu. Persembahan pada hari tersebut bukan sahaja dihadiri oleh Ibubapa dan guru sekolah terbabit malah turut dihadiri oleh guru dari sekolah lain. Selesai persembahan pada hari tersebut Cikgu Anuar telah dihubungi oleh Seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Teluk Kumbar (SKTK) bertanyakan mengenai Gayung Penggerak (SPSGP), tertarik dengan aksi-aksi yang dipaparkan di SKBG, beliau telah meminta jasa baik SPSGP untuk membuat persembahan pada Hari Sukan SKTK. Walaupun kesuntukan masa untuk berlatih disebabkan lewat menerima undangan dari pihak SKTK pihak SPSGP menerima secara terbuka dan berusaha utuk memberikan persembahan yang terbaik pada hari tersebut. Maka pada pagi Sabtu 17 April 2010 SPSGP membuat persembahan ketika acara sukan berehat.

Persembahan kaedah 4 buah jatuhan asas
Format persembahan pada hari tersebut tiada sebarang perubahan dengan persembahan di SKBG, cuma ditambah dengan sedikit permainan tari pulut dan bilangan ahli. Persembahan juga di kawalselia dengan bantuan 2 lagi jurulatih iaitu Cikgu Anuar dan Cikgu Fauzi.

Aksi Tempur tangan Kosong



Tari Silat Pulut

Antara gerakan rahsia, seni dan kelembutan silat itu terhimpun di dalam Tari silat pulut sesuatu perguruan, walaupun gerakan tidak sepantas aksi Pentas Tari, ataupun tempur tangan kosong gerakan yang dihasilkan mempunyai isi dan maksud yang sendiri. Ianya terpulang kepada penonton untuk mentafsirkannya.


Antara aksi Cikgu Fazli dan Safarul

Aksi Tempur parang
Antara persembahan yang menarik perhatian penonton tentulah aksi tempur parang , walaupun telah mendapat kesepakatan antara pasangan tempur dan latihan yang panjang namun kadangkala terdapat juga bahaya yang menanti sekiranya tersilap langkah. Alhamdulilah segalanya berjalan lancar, dengan set parang yang baru.$$

Ahli SPSGP dan Guru Utama selepas tamat persembahan






Saturday, April 3, 2010

Demo Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir

Buka gelanggang oleh Cikgu Fazli


Tari Sembah dari SPSGP

Alhamdulillah, apa yang dirancang telah berjalan dengan lancar. Layanan guru SKBG terhadap pesilat SPSGP juga amat memuaskan hati kami semua. Jutaan terima kasih kepada Puan Pengetua (Puan Jamaliah) dan Penolong Kanan KoKurikulum(Mr Lim)terhadap kerjasama yang diberikan. Persembahan demo yang berjaya menarik perhatian hadirin walaupun terdapat serba sedikit kekurangan.


Langkah Siku depan

Persembahan dimulakan dengan buka gelanggang oleh Cikgu Fazli diikuti tari sembah oleh para pesilat SPSGP. Persembahan diteruskan dengan langkah asas, jurus17 dan buah jatuh.


Tari Tempur Parang

Setelah selesai kaedah buah jatuh, persembahan diteruskan dengan Tari tempur Tangan kosong dan Tari tempur parang. Persembahan parang membuatkan pelajar tak senang duduk ditambah pula keadaan yang tidak dijangkakan berlaku (mata Parang Patah). Persembahan tari tetap diteruskan sehingga selesai oleh gandingan Mat Arif dan Tok Mat.
Mata Parang yang patah semasa demo SKBG , terpaksa cari set parang baru untuk demo akan datang.

Bergambar di rumah Guru Utama selepas selesai persembahan.

Thursday, April 1, 2010

Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir, kami datang.


Bersempena Hari sukan Sekolah, di Sekolah Kebangsaan Bukit Gambir, Seni Perguruan Silat Gayung Penggerak dijemput untuk mengadakan demonstrasi Silat.Persembahan dijangka berlangsung selepas perbarisan dan bacaan ikrar oleh pelajar. Persembahan akan diadakan pada pagi Sabtu 3 April 2010 bersamaan 18 Rabiulakhir 1431 Hijrah. Jam 9.00 pagi. Orang ramai dijemput hadir.

Sunday, March 7, 2010

Ijazah SMKTK2 Mac 2010


Setelah hampir setahun Majlis diadakan di SMKTK2, tanggal 6 Mac 2010 bertempat di surau SMKTK2 satu majlis yang sama iaitu Majlis Pengijazahan ahli baru telah diadakan. Antara yang hadir pada majlis tersebut adalah Cikgu Fazli, Cikgu Anuar, Cikgu Fauzi dan Pak Guru Hashim Ahmad. Majlis yang dijalankan secara ringkas dan sederhana itu turut dihadiri bersama beberapa ahli lama. Selain sesi pengijazahan, Majlis juga merupakan majlis petua dan penerangan kepada ahli.

sebahagian Ahli tekun mendengar penerangan yang diberi
Penerangan disampaikan oleh Cikgu Fazli


Saturday, February 13, 2010

SPSGP SKK 2010 dan pandangan umum

Latihan telah pun bermula hampir 3 minggu di Sekolah Kebangsaan Kongsi,Balik Pulau.Ramai juga ahli baru yang berminat untuk mencuba setakat mana kemampuan di dalam diri. Seperti tahun-tahun yang lepas, di awal tahun atau awal pelajaran ramai yang mendaftar nama tapi dipertengahan perjalanan kelas, pasti akan ada ahli yang menarik diri dan berhenti maka tinggalah yang bersemangat kental sahaja yang berjaya sampai ke sesuatu tahap ujian, Dari kajian dan pemerhatian yang dilakukan permasalahan ini berlaku disebabkan oleh beberapa faktor.
Antaranya:-
  1. Tidak berminat dengan dunia silat tetapi sekadar mengikut kawan menyertai perguruan.
  2. Semangat yang berkobar-kobar di awal kemasukan latihan, dan semangat yang panas itu menjadi sejuk setelah badan sakit-sakit selepas latihan.
  3. Terlalu aktif dengan berbagai aktiviti disekolah cthnya, wakil sekolah di dalam bidang sukan, pidato, kuiz, debat, pengawas sekolah dan akhirnya tidak dapat memberi tumpuan kepada silat lagi.
  4. Tiada galakan dari ibubapa dan masyarakat sekeliling mengenai kebaikan mempelajari silat, sibuk dengan kehidupan moden dan menganggap silat seperti (kuno) tidak relevan lagi dengan dunia moden sekarang.
  5. Antara alasan lain yang popular yang digunakan di sekolah iaitu terpaksa menumpu pelajaran pada peperiksaan tahun tersebut.
  6. Bagi ibubapa yang kurang mendapat pendedahan dan penerangan serta dilahirkan dikalangan keluarga moden, mentaliti ibubapa menjadi prejudis dan fobia terhadap dunia silat, dengan alasan ilmu batin akan jadi gila, susah nak mati, ajaran sesat dan berbagai lagi tanggapan buruk. Tidak dinafikan ada juga kelompok silat yang mengamalkannya. Kelompok inilah yang memburukan lagi keadaan. Sesetengah ibubapa lebih yakin dengan beladiri luar.
  7. Bagi yang sudah berumahtangga dan bekerja kegagalan menguruskan masa antara faktor penyumbang. Bila diajukan soalan " malam ni /minggu ni turun gelanggang? " jawapan yang pasti diterima "kerja". Apapun mencari nafkah untuk keluarga tetap perlu diutamakan, janganlah sampai kita ekstrem dengan dunia silat hingga lupa keluarga. Sekiranya boleh luangkanlah sedikit masa ke gelanggang/kelas silat.
  8. Ikatan perkahwinan juga antara faktor yang mengikat/mengunci mati gerak kaki pesilat ke gelanggang.

Semua permasalahan di atas adalah kajian umum yang dilakukan dan terjadi kepada kebanyakan pesilat dan perguruan silat di Malaysia. Apapun hal-hal ini dapat diatasi sekiranya seseorang pesilat itu:-

  1. Mempunyai jatidiri, semangat dan minat yang mendalam terhadap dunia silat
  2. Mendapat galakan dari ibubapa dan masyarakat setempat
  3. Membuat aturan dan jadual masa kehidupan supaya lebih teratur.
  4. Bagi seorang pelajar mereka haruslah bijak membahagikan masa untuk bersilat, belajar, dan beriadah.
  5. Bagi yang akan mendirikan rumahtangga ceritakan kepada isteri mengenai minat dan dapatkan sokongan dari mereka, tidak akan ada sebarang halangan jika ianya dapat difahami dari awal.
  6. Menyelidiki latar belakang sesebuah perguruan sebelum menyertai, adakah perguruan tersebut melakukan perkara yang terlarang, bertentang akidah, pemujaan atau amalan-amalan khurafat yang lain.Sekiranya ada tinggalkan atau elakan dari terjebak.

Apapun diharapkan tahun ini pihak perguruan dapat menjalankan aktiviti seperti biasa, selain itu pihak perguruan juga mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah berjaya dengan cemerlang di dalam keputusan UPSR,PMR peperiksaan tahun lepas. Mereka mereka ini dapatlah dijadikan contoh bahawa silat tidak menghalang untuk mencapai kejayaan

Monday, February 8, 2010

Latihan Tempur bebas / free Sparring


Adapun latihan berpasangan melatih pesilat memahami gerak pertempuran sebenar, latihan tempur bebas juga penting untuk memastikan pesilat merasai suasana sebenar pergelutan, masa tindakan serangan mahupun sikap belaan, serta arah sasaran yang tepat.


Meneruskan kesinambungan ini selain daripada latihan tari sembah, kuncian dan buah jatuh, Gayung Penggerak juga memberi peluang para pesilatnya merasai suasana tersebut. Setelah selesai sesi tersebut setiap ahli boleh menilai sendiri tahap diri mereka, segala kekurangan akan dipebetulkan oleh gurulatih bertugas.



SPSGP 2010 NEW VIDEO

Sunday, January 31, 2010

SMKTK2 2010


Latihan silat di SMKTK2 disambung kembali selepas sekolah bercuti panjang, aktiviti gelanggang di sekolah-sekolah sepanjang bulan Januari berjalan lancar walaupaun agak sibuk sedikit dengan penambahan ahli baru, perlantikan jawatankuasa baru, serta majlis penerangan kepada ahli baru. Dengan struktur organisasi yang lebih mantap diharap perjalanan pertubuhan akan lebih lancar tahun ini. SPSGP SMKTK2 tahun ini turut mendapat bantuan dari 4 guru penasihat, dan diketuai oleh Ustaz Marzuki.


Tuesday, January 19, 2010

clip video silat terbaru

Klip video pada pertandingan pencak silat peringkat negeri 2009 untuk kategori Silat seni tempur berpasangan.

Thursday, December 17, 2009

Selamat menyambut Maal Hijrah 1431H

Semoga tahun baru ini merubah kita menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya dan meningkatkan semangat Jihad kita supaya sentiasa Subur untuk menegakkan agama Allah.Berhijrahlah kita ke tahap yang lebih terbaik.

Saturday, November 14, 2009

Penghujung Sesi 2009

Sesi terakhir latihan untuk tahun 2009
Perjalanan tahun 2009 semakin hampir ke penghujungnya, Aktiviti-aktiviti yang dirancangkan pada awal tahun pun banyak yang telah berjaya dilaksanakan. Bagi gelanggang-gelanggang silat yang melibatkan kokurikulum di sekolah bererti sudah sampai masanya untuk gelanggang direhatkan buat seketika bagi memberi peluang kepada ahli yang merupakan pelajar untuk berehat dan bercuti...berakhirnya sesi latihan untuk tahun 2009 bukanlah beerti telah tamatnya didalam pejuangan mencari ilmu.Malah ia merupakan titik permulaan bagi mencari sesuatu yang baru. Insyaallah kelas latihan akan disambung kembali awal Januari tahun 2010. Kepada yang telah tamat sesi persekolahan bagi darjah 6 yang akan ke tingkatan 1, Tingkatan 3 yang akan bertukar sekolah tahun hadapan ataupun yang akan menghadapi SPM tidak lama lagi, haruslah diletakkan matlamat ke mana arah tujuan kita nanti.

Pesilat SPSGP gelanggang kongsi yang berjaya di dalam ujian kemahiran

Mengimbas kembali sejarah pembukaan gelanggang di Sekolah Kebangsaan Kongsi Balik Pulau, ianya merupakan satu perkembangan awal kepada SPSGP. Ianya bermula hasil dari inisiatif Cikgu Aidil yang merupakan ahli SPSGP yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Kongsi. Gelanggang dibuka awal 2008 dengan keahlian 30 orang ahli sahaja. Hasil usaha dan kesungguhan ahli dan jurulatih terlibat serta aktivti menarik yang telah dijalankan telah berjaya menarik 80 orang ahli baru untuk sesi 2009. Namun dari jumlah tersebut hanya 20 orang sahaja yang berjaya mendapatkan sijil kemahiran SPSGP. Ujian yang telah dijalankan pada bulan oktober yang lalu berjaya dilalui oleh semua pesilat SPSGP gelanggang Kongsi. Pada 13 November 2009 satu majis ringkas penyampaian sijil telah diadakan diperkarangan sekolah. Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada Cikgu Azizah sebagai penyelaras Kokurikulum sekolah yang mengambil berat tentang perkembangan silat di sekolah. Syabas dan Tahniah juga diucapkan pada yang berjaya, bagi yang kurang bernasib baik ataupun yang tidak berkesempatan boleh melakukannya di tahun hadapan.