Maka dikesempatan itu SPSGP telah mengambil peluang untuk mengadakan demonstrasi terakhir sebelum berehat panjang. Persembahan silat tersebut merupakan jemputan dari Pihak Sekolah Men. Keb. Teluk Kumbar 2 bersempena hari Kantin sekolah. Walaupun kebanyakkan sekolah rendah di sini ditutup sebagai langkah mengawal penyakit H1N1, sambutan pelawat yang hadir pada hari tersebut amat menggalakan.
Acara pada hari tersebut dimulakan dengan bacaan doa, diikuti oleh ucapan Pengetua Sekolah. Selepas acara perasmian, persembahan dimulakan dengan persembahan dari persatuan Taekwondo Sekolah. Persembahan dijalankan oleh 6 orang peserta Taekwondo. Tamat taekwondo maka giliran silat mengambil alih persembahan.
Persembahan dimulakan dengan tari buka gelanggang oleh Cikgu Fazli, kemudiannya di ikuti dengan tari bunga sembah perguruan oleh semua ahli terlibat. Seramai 50 orang ahli terlibat di dalam persembahan tersebut. Tamat bunga sembah, para pesilat menunjukkan beberapa langkah gerakkan asas Gayung Penggerak yang terdiri dari gerak menumbuk siku dan sebagainya. Persembahan asas diakhiri dengan langkah tapak Jurus17.
Dalam persembahan buah jatuh, 4 kaedah buah jatuh Gayung Penggerak dipamerkan iaitu buah terbang, buah sorong, buah sauk dan buah gantung. Selesai kaedah buah jatuh pesilat membentuk formasi ladam Kuda sebagai pagar untuk persembahan tempur.
Persembahan dimulakan oleh Cikgu Fazli berpasangan dengan Safarul untuk persembahan Silat pulut ataupun Silat Jatuh. Persembahan kemudiannya di ikuti dengan persembahan senjata utama perguruan iaitu Jurus tekpi dan tempur tekpi di ketuai oleh Azahari(Ari) dan pesilat dari gelanggang utama.Langkahan seterusnya di teruskan pula oleh Nasrun dan Syafiq untuk persembahan kayu selengan.
Untuk teknik rotan panjang ataupun tembung beberapa kaedah buah jatuh ditunjukkan oleh Izat dan Hazuan. Menyusuri persembahan seterusnya, Tari keris pula dipertontonkan oleh Kamal dan Redza(Chot). persembahan tempur dan diselangselikan dengan gerakan tari berjaya menarik perhatian penonton. Persembahan pada hari tersebut diakhiri dengan tempur parang oleh Izhar yang berpasangan dengan Mat. Gerakan yang pantas dan aksi-aksi yang merbahaya menyebabkan ada penonton yang merasa gerun untuk menyaksikan persembahan.
Persembahan ditutup dengan acara tari sembah tutup gelanggang oleh semua ahli yang terlibat. Sebagai salah satu daripada badan kokurikulum sekolah, pihak SPSGP juga turut mengadakan satu pameran senjata dan beladiri, Pameran senjata tersebut merupakan koleksi senjata yang dihimpunkan oleh Guru Utama Pak guru Hashim Ahmad. Hampir 200 bilah senjata dipamerkan di antaranya keris,parang,golok,sundang,badik,tombak, dan banyak lagi.
sebahagian lagi keris di sudut yang lain
Set Gendang Silat
Demonstrasi Keris berdiri