Wednesday, February 4, 2009

Gelanggang Kongsi




Hari Rabu setiap minggu adalah antara hari yang ditunggu-tunggu oleh pesilat-pesilat SPSGP gelanggang Kongsi Balik Pulau. Latihan yang dimulakan pada pukul 5.00 ptg hingga 6.30 ptg itu disertai oleh 41 orang pelajar. Kelas latihan pula dibahagikan kepada 2 kelas, kelas pertama merupakan kelas asas untuk ahli baru dan kelas kedua adalah kelas mahir. SPSGP/SKKBP dinaungi oleh Guru Besar Sekolah dan Puan Azizah pula bertindak sebagai ketua panitia Kokurikulum Sekolah merangkap guru penasihat perguruan.



Latihan asas tapak siku

latihan tapak kekuda asas



Kelas mahir


Pesilat SPSGP yang telah tamat tapak asas akan diserap ke dalam peringkat Kelas mahir. Pada peringkat ini tapak,langkah,kuncian dan pukulan akan dilatih dengan lebih mendalam, penumpuan latihan akan difokuskan kepada kepantasan gerak, kekemasan kuncian dan ketepatan sasaran pukulan. Ahli kelas mahir SPSGP/SKKBP merupakan ahli yang telah mengikuti latihan semenjak Feb 2008 lagi.

Kaedah Jatuhan

Mencari sasaran pukulan

Kepantasan kuncian

Ketepatan Penyudah

Sunday, January 25, 2009

Gelanggang SMKTK 2

Bermula 17 January 2009 sebuah lagi gelanggang baru dibuka oleh SPSGP, gelanggang baru tersebut telah dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan Teluk Kumbar 2. Pihak sekolah telah bersetuju untuk membenarkan SPSGP menyampaikan ilmu beladiri ini kepada warga sekolah. Penaung SPSGP/smktk2 adalah Tuan Pengetua Pn. Hjh Rosni binti Ahmad. Manakala En. Mazuki bin Senafi dan Pn. Sharipatul Asilah binti Sulaiman dilantik sebagai guru penasihat. Jawatankuasa SPSGP/smktk2 terdiri daripada; Safarul (Pengerusi), Muhd Kamal (Naib Pengerusi), Norashikin (Setiausaha), Nadeera (Bendahari) dan lima orang AJK. Latihan dijalankan di dalam dewan Sekolah jam 8.00-10.00pagi setiap sabtu.

Pesilat SPSGP/smktk2 sedia untuk beraksi dalam latihan asas



Pesilat berehat sambil mendengar penerangan dari gurulatih



Bergambar kenangan bersama Guru Utama selepas tamat latihan

Saturday, January 24, 2009

website SPSGP

Pada 23 January yang lalu, satu lagi laman web telah dibangunkan untuk menerangkan mengenai Silat Gayung Penggerak. Website tersebut dibangunkan untuk perhimpunan komuniti silat, keahlian dibuka untuk register secara online dan dibuka kepada umum walaupun bukan terdiri daripada ahli Gayung Penggerak. walaubagaimanapun segala berita, aktiviti mingguan, tetap akan diupdate di blog ini, alamat website baru SPSGP adalah seperti tersebut

http://www.gayungpenggerak.webs.com/



Sunday, January 11, 2009

Pembuka tirai 2009




Penyerahan amanah ijazah


Majlis ijazah pengambilan ahli baru merupakan pembuka acara untuk SPSGP tahun ini, latihan mingguan tetap dijalankan seperti biasa.Pada malam 10 Januari 2009 seramai 12 orang ahli baru telah menjalani acara tersebut.Majlis pada malam tersebut dijalankan di rumah Guru Utama Pak Hashim Ahmad selepas solat Isya dan turut dihadiri oleh Pak Ngah Ramli (Pemegang amanah 1 perguruan). Majlis dimulakan dengan penyampaian maklumat penerangan dan syarat perguruan oleh Cikgu Fazli, kemudiannya diikuti pula dengan penyerahan bekas sireh. Majlis tamat pada pukul 11 malam.


Doa dibacakan pada sireh pinang dan limau purut

Amanah disampaikan oleh Gurulatih


Jamuan Teh selepas selesai majlis

Monday, December 29, 2008

SPSGP sepanjang 2008

Apabila datangnya 1 Januari 2009 maka berakhirlah tahun 2008 yang meninggalkan segala kenangan dan harapan. Apa yang telah berlaku maka ianya hanya menjadi sejarah kepada kita. Pergerakan perguruan Silat Gayung Penggerak juga menempuh pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang 2008. Tetapi dengan semangat yang tak berbelahbagi dari ahli dan mereka yang menyokong perjuangan yang dibawakan oleh Pak Guru Hashim Ahmad maka Gayung Penggerak tetap bergerak dan berjaya menambah bilangan ahli,
insyaAllah satu lagi gelanggang Gayung Penggerak akan beroperasi pada Januari 2009. Alhamdullillah....

Seperti biasa SPSGP tidak pernah sepi dari aktiviti jemputan ataupun aktiviti perguruan. Pelbagai aktiviti SPSGP telah dijalankan sepanjang tahun 2008 yang terdiri dari jemputan persembahan,demo silat,perasmian dan aktiviti perguruan sama ada kenduri ,majlis makan malam dan malam ijazah ahli baru. Selain daripada itu aktiviti gotong-royong membersihkan gelanggang utama juga dijadikan aktiviti bulanan.



Pada tahun 2008 3 sesi pengambilan ahli baru telah dijalankan, 2 majlis ijazah ahli baru telah diadakan iaitu pada 22 Mac 2008 dan 21 Jun 2008. Majlis ijazah ahli baru seperti biasanya dimulakan dengan penerangan syarat dan adab silat kemudianya diikuti dengan perjanjian terima silat, bacaan doa oleh guru utama dan diakhiri dengan jamuan makan.



Pada 3 Mei 2008 SPSGP telah diberi penghormatan untuk mengadakan demonstrasi silat untuk acara pembukaan Hari Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan Kongsi Balik Pulau. Pada hari tersebut 20 ahli SPSGP dari gelanggang utama telah bergabung dengan 24 ahli SPSGP dari gelanggang kongsi untuk membuat persembahan.



Pada 10 Ogos 2008 SPSGP telah membuat persembahan di Sekolah Menengah Telok Kumbar 2 bersempena Hari Kantin. Persembahan telah dijalankan dengan jayanya oleh 14 pesilat SPSGP. Persembahan dimulakan dengan sembah panglima diikuti gerakan asas, silat pulut , buah jatuh tari tempur senjata dan di akhiri dengan pecah genting.



Sebagai menghormati bulan ramadhan latihan silat dihentikan selama 1 bulan, jamuan hari raya ataupun rumah terbuka Gayung Penggerak diadakan setiap tahun di rumah guru utama.Pada hari tersebut juga merupakan perjumpaan tahunan diantara ahli baru dan lama.

Pada 30 November 2008 dengan kekuatan 25 orang ahli , pihak SPSGP telah menghadiri jemputan hari Haul Kuntau Tekpi Malaysia 2008 di Kg.Siput Baling. SPSGP telah membuat persembahan dan menjalinkan silaturahim diantara 2 perguruan ini. Selepas pulang pihak SPSGP telah menghadiri kelas gendang silat di Sik Kedah dan mendapat tunjuk ajar dari Guru Serunai Pak Long Mail dari silat Patani. Beberapa siri rombongan sambil belajar SPSGP akan diadakan lagi pada awal tahun ini.



Perhimpunan perjumpaan penutup untuk tahun ini telah diadakan pada 9 Disember 2008, satu jamuan makan telah diadakan juga bersempena Hari Raya Korban. Antara menu pada malam tersebut adalah 1000 cucuk sate yang disiapkan sendiri secara gotong-royong oleh ahli SPSGP.



Terdapat juga persembahan silat untuk majlis dan jemputan secara kecil-kecilan yang lain sepanjang tahun 2008. Akhir kata dari pihak perguruan semoga segala aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tahun 2008 dapat memberi manfaat kepada semua ahli SPSGP dan juga diharapkan tahun 2009 menjadi tahun yang cemerlang bagi SPSGP untuk terus bergerak dan berkembang.

MAAL HIJRAH 1430H

Selamat Menyambut Maal Hijrah yang ke 1430H.

Hijrah dari segi bahasa membawa maksud berubah ataupun berpindah,manakala dari konteks agama pula ianya berdasarkan perpindahan rasulullah S.A.W dari Mekah ke Madinah.Apapun yang berlaku ianya memberi kesan yang mendalam terhadap umat dan agama Islam, maka di harap kedatangan tahun baru Islam ini membawa perubahan kepada kita untuk berubah sikap kepada yang lebih mulia, mendekatkan diri dengan maha pencipta, berusaha keras terhadap apa yang diusahakan. Semoga apa yang dilakukan oleh kita mendapat keberkatan dariNya.Amin....

Salam
GerakGayungan.

Monday, December 15, 2008

Sekitar Hari Haul Kuntau Tekpi 2008

Bunga sembah dari Gayung Penggerak
Acara dan persembahan dari SPSGP pada hari tersebut dipimpin oleh cikgu Hafiz dan dibantu oleh Cikgu Fauzi,Cikgu Mi,Cikgu Anuar,Pak Su Zul serta Cikgu Faiz.

Bunga sembah dari Kuntau Tekpi


Aksi menanti serangan untuk melakukan buah jatuh


Guru Utama menyaksikan persembahan


Barisan Jurulatih dan Guru utama

Monday, December 1, 2008

Pertemuan dua Guru utama

Dua Guru Utama bertemu sebagai ikatan silaturahim di antara dua perguruan, di antara Seni Perguruan Silat Gayung Penggerak (SPSGP) dan Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekpi Malaysia (PSSKTM). Seni Perguruan Silat Gayung Penggerak telah menghadiri Hari Perhimpunan Tahunan Silat Kuntau Tekpi Malaysia 2008 bertempat di rumah Guru Utama PSSKTM Pak Guru Haji Sani yang terletak di Kg. Siput, Jalan Weng Baling, Kedah Darul Aman. Majlis penyampaian Bengkung dan selempang itu juga dijalankan serentak dengan Hari Perkahwinan anak Beliau. Majlis tersebut juga di hadiri dari perguruan-perguruan silat yang berdekatan. Walaupun terdapat perbezaan adat sembah perguruan, persamaan kedua-dua perguruan ini (Gayung Penggerak & Kuntau Tekpi) ialah menjadikan senjata tekpi sebagai senjata utama perguruan. (Gambar : Pak Guru Haji Sani & Pak Guru Hashim Ahmad)








Gelanggang Panglima Taib

Para pesilat SPSGP bergambar di gelanggang Panglima Taib (Pertubuhan Seni Silat Kuntau Tekpi Malaysia) Persembahan dari Gayung Penggerak untuk Hari Haul Kuntau Tekpi 2008 terdiri daripada Buah Jatuh, Jurus dan Tari.

Saturday, November 29, 2008

Latihan Tekpi



Pada malam 28 nov 2008 satu kelas latihan asas tekpi telah diadakan, kelas asas tekpi pada malam tersebut menekan asas tekpi dari segi pegangan,tikam, petik, tahan, tumbuk, siku dan hayun. Para pesilat juga ditunjukan jurus tekpi. Di dalam kelas mahir nanti mereka akan didedahkan dengan pukulan dan kuncian tekpi sama ada penggunaan satu tekpi mahupun sepasang.

Thursday, November 20, 2008

Maksud GAYUNG

Gayung merupakan satu perkataan yang cukup sinonim dengan nama silat di malaysia, Gayung diberi berbagai makna dan tafsiran mengikut perguruan silat di malaysia,
untuk merungkai kekusutan yang dihadapi dan percanggahan maksud, disini disediakan hasil dari carian di Kamus keluaran Dewan Bahasa & Pustaka.Bukanlah tujuan untuk menyalahkan mana-mana pihak sekadar untuk pengetahuan bersama.

gayung I
pencedok air yg dibuat drpd tempurung, plastik dll dan diberi bertangkai.
sumber(Kamus Pelajar)

gayung II
1. tongkat panjang yg digunakan sbg senjata.
2. perbuatan memarang dll; serangan yg dibuat dgn menggunakan pedang dll.
3. = ilmu ~ jampi yg dpt digunakan utk menyakiti, membunuh dll dr jauh.

bergayung bermain silat atau pencak; bersilat.

menggayung
1. mengayunkan pukulan dgn menggunakan pedang dll; memarang; memukul.
2. memainkan kaki dlm pencak silat.
3. membaca jampi utk menyakiti atau utk membunuh orang dll dr jauh.
sumber (Kamus Pelajar)


gayung I
pencedok air drpd tempurung dsb yg bertangkai, sibur.
sumber(Kamus Dewan Edisi Tiga)

gayung II
1. sl sj tongkat yg dipakai sbg senjata;
2. pukulan, tetakan, tikaman, dll (dgn senjata); main ~ bersilat (bertinju dll);
3. = ilmu ~ sj mantera utk menyakitkan (membunuh dll) orang dr jauh;~ bersambut
kata berjawab prb mengelakkan serangan musuh atau menjawab percakapan ; ~ tua, ~ memutus prb cakap orang tua-tua biasanya benar;
bergayung bersilat (bertikam dll); orang ~ sama pandai sama bak kundi atas dulang prb sama arif dan bijaksana;

menggayung
1. menetak, menikam, menombak dll (dgn senjata);
2. mengucapkan mantera utk membunuh musuh dll.
sumber(Kamus Dewan Edisi Tiga)

Hasil daripada kesemua maksud yang dipaparkan, Gayung bolehlah kita samakan dengan silat ataupun bersilat...

Kaedah & Pelajaran


SPSGP diasaskan oleh Guru Utama Pak Hashim Bin Ahmad pada awal 1970, Pak Hashim Ahmad telah menggabungkan kaedah yang terbaik daripada 4 aliran silat yang telah dipelajarinya (kuntau melayu, Sendeng Pulau Pinang, Silat Siku dan Silat Pak Mat Pinang) dan menamakan silat gabungan ini sebagai "Seni Perguruan Silat" manakala ilmu pengerak gayung yang dipelajarinya dari Guru Tassawuf "Tok Ayah Mat Siam Patani" digabungkan menjadi Seni Perguruan Silat Gayung Penggerak.

Untuk menamatkan ilmu persilatan di dalam Gayung Penggerak setiap pesilat mestilah menamatkan 3 paras/peringkat ilmu iaitu


1.Paras Asas

Pada peringkat asas/tapak para pesilat akan mempelajari senaman, asas pergergerakan silat, asas tapak silat (tapak empat),kaedah masuk; 9 kaedah elakkan.
Mereka juga harus mempelajari 21 asas buah jatuh&kuncian dan satu gerakan jurus yang menggabungkan keseluruhan asas silat gayung penggerak.

9 Kaedah elakan
1.luar
2.dalam
3.bawah
4.lambung
5.tolak luar
6.tahan atas
7.elak luar
8.kuntau dalam
9.kuntau luar

Senarai buah jatuh
1.Buah terbang
2.Buah sorong
3.Buah sauk
4.Buah Gantung
5.Buah Siku kiri
6.Buah siku kanan
7.Buah Serlom
8.Buah Tanggung
9.Buah Siku balik dalam
10.Buah siku balik luar
11.Buah Kilek senapang
12.Buah sepak bawah
13.Buah kepak bawah
14.Buah lutut
15.Buah Cedok
16.Buah Pasung
17.Buah kilas atas
18.Buah tumbuk rusuk
19.Buah Hiris
20.Buah makan Sendeng
21.Buah siku dalam


2.Paras Mahir

Pada peringkat ini pesilat gayung penggerak perlu mempelajari tapak serong (asas tari) serta perlu memahirkan diri didalam lompatan harimau (minimum 5 orang) dan juga cara berguling sama ada kehadapan,belakang mahupun bersenjata, Pada peringkat ini juga mereka perlu memahirkan diri dengan 30 pukulan buah serempak&kuncian. Setelah memahirkan diri dengan apa yang telah diajar maka pesilat dibenarkan belatih menggunakan senjata pula. Asas senjata di dalam Seni Perguruan Silat Gayung Penggerak ialah 4 senjata yang terdapat di lambang perguruan iaitu:-

1.Keris-(malay dagger)
2.Parang-(machette)
3.rotan panjang-(long stick)
4.Tekpi-(Sai)

Lambang Gayung penggerak juga dihasilkan daripada kombinasi senjata tersebut dan mempunyai maksud tersirat disebalik susun aturnya.

Senjata Tekpi diajar setelah pesilat mahir menggunakan semua senjata termasuk senjata tambahan iaitu pisau dan rotan pendek (selengan)

Keris
7 buah jatuh

Parang
7 buah jatuh

Rotan Panjang
7 Buah jatuh

pisau
4 elakan
7 buah jatuh

Selengan
5 elakan/rampas
10 buah jatuh

Tekpi
7 asas
Buah jatuh dari 7 asas (Pecahan)

3.Peringkat umum

Pada peringkat umum pesilat akan diajar rahsia makan gerak & pecahan pukulan dari 9 asas elakkan hingga boleh melahirkan berpuluh-puluh jenis kuncian ataupun jatuhan mengikut keadaan.

pesilat juga didedahkan dengan penggunaan senjata Silat dan bukan silat seperti:
1.Kerambit
2.Kapak Kecil
3.Badik
4.Sundang
5.Nunchaku
6.Tonfa


4.Paras Tamat

Tidak ramai yang sampai ke tahap ini kerana ahli terpilih yang dipilih oleh Guru Utama sahaja mempelajari ilmu di peringkat ini, mereka akan diajar ilmu kerohanian serta kebatinan.Pesilat-pesilat ini juga diberi ijazah amanah untuk mengajar & membuka gelanggang sendiri jika perlu.

Saturday, October 4, 2008

Seni Silat Kuntau Tekpi Malaysia


Terima kasih kepada Cikgu Amirul Husni dan Cikgu Azhar Hamzah kerana menjemput SPSGP untuk menyertai Majlis Hari Perhimpunan Tahunan Perguruan Seni Silat Kuntau Tekpi Malaysia 2008, terima kasih juga di ucapkan pada Guru Utama PSSKTM yang membenarkan kami untuk membuat persembahan pada hari tersebut.kepada semua ahli SPSGP latihan akan bersambung semula pada 10 oktober ni, Insyaallah SPSGP akan memberikan persembahan yang terbaik pada hari tersebut. jumpa disana....

Tuesday, September 30, 2008

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI MAAF ZAHIR & BATIN DARI SPSGP KEPADA SEMUA UMAT ISLAM TERUTAMANYA WARGA SILAT WALAU DI MANA JUA ANDA BERADA

Friday, September 26, 2008

Sumbangan Aidilfitri


Syawal hampir menjelang lagi, para pesilat SPSGP dari Sekolah Kebangsaan Kongsi, Balik Pulau mendapat khabar gembira apabila Guru Utama Perguruan, Pak Guru Hashim Ahmad telah bermurah hati untuk menyampaikan sedikit sumbangan kepada semua pesilat. Pada majlis tersebut juga sumbangan turut disampaikan kepada golongan yang kurang bernasib baik iaitu anak-anak yatim di sekolah tersebut. Majlis dijayakan dengan bantuan oleh Pengerusi SPSGP cawangan Balik Pulau, Cikgu Mohd Aidil.

Saturday, September 20, 2008

Persembahan di Sek. Men. Keb. Teluk Kumbar 2


bergambar beramai-ramai selepas tamat demo sempena Hari KoKurikulum Sek. Men. Keb. Teluk Kumbar 2

Persenjataan SPSGP



Setiap silat mempunyai adab & adat budaya yang tersendiri, dari segi seni tari,bunga dan jurus. SPSGP turut mempunyai kaedah permainan senjata yang mengikut tahap kemahiran pelatihnya. Pada peringkat asas pesilat-pesilat SPSGP hanya dibenarkan berlatih menggunakan rotan panjang & kayu selengan. Manakala pada peringkat mahir pula pesilat akan diajar teknik beladiri pisau, tari keris serta parang. Setelah memahirkan diri dengan kesemua pensenjataan tersebut barulah diperturunkan ilmu permainan Senjata Tekpi (Senjata rasmi perguruan). Sebagai pengetahuan umum pesilat SPSGP, mereka juga didedahkan mengenai permainan badik,kerambit,tombak, serta tonfa dan nunchaku.
Di dalam logo perguruan juga dapat dilihat senjata wajib yang perlu dipelajari oleh setiap ahli untuk tamat. Senjata ini juga mewakili maksud yang tersirat iaitu:-
  1. rotan panjang yang membentuk lengkungan luar membawa maksud silat dapat melindungi pengamalnya dari gangguan musuh yang zahir & batin
  2. parang bersilang membawa maksud bersatu-padu dan bekerjasama
  3. keris di puncak membawa maksud kedaulatan bangsa harus dijaga dan ditegakkan
  4. sepasang tekpi membawa maksud setiap perkara ada baik dan buruknya

Friday, September 19, 2008

Hari Sukan Sekolah Kebangsaan Kongsi, Balik Pulau


SPSGP juga turut mempunyai gelanggang di Sek Keb Kongsi Balik Pulau, Ahli dari Gelanggang Utama bersama ahli dari SK Kongsi telah mengadakan persembahan bersama pada hari tersebut.

meneruskan perjuangan


SPSGP bergerak dibawah biro Kesenian dan warisan dari Pertubuhan Belia 4B cawangan Teluk Kumbar. Aktiviti yang dijalankan telah memberi kebaikkan kepada belia setempat. SPSGP telah bergerak hampir 35 tahun hasil usaha Guru Utama Pak Hashim Ahmad dan guru-guru lama yang terdiri dari Pak Ngah Ramli , Pak Cik Abu, Pak Cik Salleh.

Thursday, September 18, 2008

Pengenalan SPSGP

Seni Perguruan Silat Gayung Penggerak (SPSGP) diasaskan oleh Guru Utama Pak Hashim Bin Ahmad pada tahun 1970. Pak Guru Hashim Ahmad menggabungkan kaedah yang terbaik dari 4 aliran silat yang dipelajarinya menjadi satu gerak silat dan dinamakan Seni Perguruan Silat Gayung Penggerak.(SPSGP). Silat ini berpusat di Teluk Kumbar, Pulau Pinang Malaysia. Kaedah yang disampaikan melalui silat ini adalah melalui tempur tangan kosong dan bersenjata. Ahli juga diajar mengenai Seni Gerak dan kaedah makan gerak.